Fadhilat Surah Al-Fatihah
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bertanya kepada Ubai bin Kaʾab,
كَيْفَ تَقْرَأُ فِي الصَّلَاةِ؟ فَقَرَأَ أُمَّ الْقُرْآنِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا أُنْزِلَتْ فِي التَّورَاةِ وَلَا فِي الْإِنْجِيلِ وَلَا فِي الزَّبُورِ وَلَا فِي الْقُرْآنِ مِثْلُهَا، وَإِنَّهَا سَبْعٌ مِنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِي أُعْطِيتُهُ
Maksudnya: "Bagaimanakah kamu membaca dalam solat?" Lalu beliau membaca surah al-Fatihah. Rasulullah bersabda, "Demi Zat Yang jiwaku dalam genggaman-Nya, tidak ada surah yang seumpamanya diturunkan di dalam Taurat, Injil dan Zabur. Al-Fatihah ialah 'sabʿu al-masani' dan itulah al-Quran yang agung yang diberikan kepadaku."
(HR Tirmizi, hadis hasan sahih)
Surah Al-Fatihah Sebagai Surah Yang Agung
Daripada Abu Said bin al-Mu’alla berkata: Rasulullah SAW telah memanggilku ketika aku sedang solat, maka aku tidak menyahutnya. Aku berkata kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah! sesungguhnya aku sedang bersolat."
Rasulullah SAW bersabda: "Tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah berkaitan tuntutan menyahut panggilan Allah dan juga rasulnya apabila kamu dipanggil."
Kemudian Nabi SAW bersabda lagi: "Tidakkah kamu menginginkan untuk aku mengajarkan kepada kami surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid ini?."
Setelah itu, Nabi SAW memegang tanganku. Apabila kami ingin keluar, aku berkata: Wahai Rasulullah! Sebentar tadi kamu katakan yang kamu akan mengajarkan kepadaku surah yang paling agung di dalam al-Quran.
Maka Nabi SAW bersabda:
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، هِيَ السَّبْعُ المَثَانِي، وَالقُرْآنُ العَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Maksudnya: "Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (surah al-Fatihah) adalah tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaannya yang telah diberikan kepadaku."
(HR Bukhari, hadis sahih)
Allah Menjawab Surah Al-Fatihah
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat, sedangkan dia tidak membaca Ummul Qur’an (al-Fatihah), maka dia telah cacat, tidak sempurna."
Abu Hurairah radiallahu 'anhu disoal: (Tetapi) kami solat di belakang imam? Abu Hurairah radiallahu 'anhu menjawab: Bacalah (surah al-Fatihah) sendiri-sendiri.
Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku telah membahagikan as-Solah (nama lain surah al-Fatihah) kepada dua bahagian antara aku dan hamba Ku. Untuk hamba Ku apa yang dia mohon.
- Apabila seorang insan membaca: Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam. Allah s.w.t menjawab: Hamba Ku telah memuji Ku.
- Apabila dia membaca: Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Allah s.w.t menjawab: Hamba Ku telah memuliakan Ku.
- Apabila dia membaca: Yang Menguasai hari pembalasan. Allah s.w.t menjawab: Hamba Ku telah mengagungkan Ku. Hamba Ku telah menyerahkan segala urusan kepada Ku.
- Apabila dia membaca: Hanya Engkau kami sembah, dan hanya kepada Engkau lah kami pohoh pertolongan. Allah s.w.t menjawab: Inilah dia antara Ku dan hamba Ku. Untuk hamba Ku apa yang dia minta.
- Apabila dia membaca: Tunjukilah kami jalan yang lurus. Yang mereka yang Engkau beri nikmat, bukan jalan mereka yang Engkau Murkai, dan bukan pula mereka yang sesat. Lalu Allah s.w.t menjawab: Inilah antara Ku dan hamba Ku. Buat hambaku apa yang dia minta.
(HR Muslim, hadis sahih)
Kewajipan & Rukun Solat
Al-Fatihah Merupakan Rukun Solat
Solat TIDAK SAH jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: "Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah." (HR Bukhari dan Muslim)
Wajib Membaca Bertajwid
Firman Allah SWT:
وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا
Maksudnya: "Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil." (Surah Muzammil ayat 4)
Hukum Kesalahan Membaca Al-Fatihah
- Imam al-Nawawi mengatakan bahawa bacaan al-Fatihah adalah WAJIB merangkumi kesemua hurufnya (dari segi makhraj dan sifat) dan kesemua tanda sabdu.
- Menurut pendapat Imam al-Nawawi, jika terdapat kesalahan dalam bacaan al-Fatihah yang mengubah maksud ayat, seperti seseorang membaca (أَنْعَمْتُ) dengan baris hadapan dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalah (أَنْعَمْتَ) dengan baris atas, maka batal solatnya. Sekiranya dia tidak sengaja maka perlu diulangi bacaan yang betul.
- Manakala jika kesalahan tersebut tidak mengubah maksud ayat, seperti membaca (نَعْبُدُ) dengan baris atas, maka solatnya tidak terbatal dan bacaannya sah, tetapi hukumnya makruh, dan diharamkan untuk melakukannya dengan sengaja. Ini merupakan pandangan yang benar menurut kesepakatan ulama’.
- Adapun kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat, namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa.
Rujukan: Maktabah Al-Bakri
27 Kesalahan Biasa Dalam Membaca Surah Al-Fatihah
Klik pada senarai di bawah untuk melihat butiran setiap kesalahan.